| Wan Hasrina Wan Hassan | |
| Di sini saya ingin perjelaskan kenyataan yang dikeluarkan oleh Sinar Harian 18 Mei, 2009 yang menyimpang langsung daripada kenyataan sebenar yang dibuat oleh saya. Kenyataan yang dikeluarkan oleh Sinar Harian berbunyi, "Kemasukan ahli- ahli baru yang juga bekas ahli parti lain termasuk Barisan Nasional (BN) ke dalam PAS antara faktor menularnya amalan sagu hati atau sogokan kepada perwakilan menjelang Muktamar PAS Jun ini." Kenyataan sebenar saya adalah, "Untuk memastikan PAS terus bersandar pada dasar yang sebenar seperti mana yang termaktub di dalam perlembagaan PAS itu menjadikan al-Quran dan Sunnah sebagai rujukkan maka PAS perlulah meneruskan proses pendidikan (tarbiyah) kepada ahli-ahlinya terutamanya kepada ahli-ahli baru yang mana kita tahu kebanyakan ahli-ahli baru datangnya dari berbagai latar belakang pendidikan dan fahaman politik termasuklah mereka yang datang dari Umno dan orang-orang yang tidak berparti. Oleh itu dengan proses tarbiyyah ini saja kita yakin PAS dapat membendung budaya-budaya yang tidak sihat daripada menular di dalam perjuangan PAS ini." Tidak timbul langsung kenyataan saya yang mengaitkan ahli-ahli baru ini dengan gejala politik wang kerana saya percaya politik wang tidak wujud di dalam proses pemilihan kepimpinan di semua peringkat dalam PAS. Kenyataan yang dibuat oleh Sinar Harian ini berhasrat untuk menimbulkan konflik antara ahli PAS |
May 28, 2009
SiNAr HAriaN TiPu RaKYat
May 11, 2009
Bagaimana peranan media Malaysia?
Kini seluruh dunia digemparkan dengan kezaliman penyiasat era Presiden George W Bush yang menggunakan taktik 'melemaskan' tertuduh bagi mendapatkan maklumat. Menurut laporan berita berkenaan, seseorang tertuduh dibaringkan dan dalam keadaan tangan dan kakinya terikat, air akan dicurahkan ke mukanya sehingga dia hampir-hampir lemas. Dalam keadaan tertuduh hampir mati, rahsia mereka dikorek dan pengakuan dibuat.
Di Malaysia tahanan ISA juga pernah mendedahkan pelbagai kezaliman dan penderaan dilakukan ke atas mereka dalam soal siasat. Ada yang dibogelkan dan kemudian didera seperti dipaksa minum air kencing masing-masing manakala sebahagian lain melalui deraan psikologi seperti gangguan tidur dan rehat. Manakala keluarga tahanan mengadu mereka turut diganggu bagi mendatangkan keresahan, ada isteri didesak meminta cerai daripada pasangan masing-masing.
Pendedahan kezaliman ke atas tahanan termasuk di Guantanamo Bay yang dikaitkan dengan apa didakwa terroris Muslim, berjaya dilakukan atau didedahkan media massa. Pendedahan kes penganiayaan menggunakan teknik melemaskan tahanan pada era Bush, begitu memalukan pihak berkuasa Amerika sehinggakan Presiden sekarang, Barack Obama berjanji akan membawa pihak terbabit ke muka pengadilan.
Demikianlah situasi di Amerika dan sesetengah negara dunia Barat. Sekalipun medianya sudah ditintai noda kebebasan melampau, sesetengahnya masih mampu dan peka untuk mendedahkan penyelewengan termasuk oleh pemerintah. Bagi mereka, bukan saja orang awam, pemerintah malah keluarga diraja pun tidak kebal daripada didedahkan penyelewengan dan keburukan masing-masing.
Sempena Hari Kebebasan Akhbar 3 Mei ini, persoalannya bagaimana pula peranan media massa Malaysia dalam menangani penyelewengan dan salah guna kuasa ini? Jika media Amerika tidak keberatan mendedahkan penderaan ke atas tahanan seperti taktik melemaskan itu, apakah media Malaysia bersedia mendedahkan kezaliman di belakang tembok dan besi penjara seperti di kem-kem tahanan mangsa ISA dan kem tahanan pendatang asing?
Berdasarkan perkembangan semasa, media massa arus perdana Malaysia semakin jauh daripada berperanan begitu. Suatu ketika dulu, sesetengah media massa ini begitu dihormati peranannya kerana mampu membawa laporan penyelewengan pemimpin tertinggi, pentadbir dan peneraju organisasi tertentu; tetapi hari ini mereka tidak lebih daripada pelapor, bagaikan burung kakak tua saja, mengiya dan melaporkan saja apa kata sang penguasa.
Peneraju media arus perdana hari ini sebagai orang makan gaji, tidak lebih daripada itu. Cukup bulan dan tahun terima habuan dan bonus, asalkan tuan atasan dipenuhi segala kehendak dan nafsunya, maka tenggelamlah rakyat dalam rintihan berpanjangan. Pendedahan apa yang mahu dilakukan media arus perdana kerana mereka sudah seiring jalan dengan sang penguasa sedangkan dalam sejarah Islam, Khalifah Umar Al-Khattab yang gagah perkasa itu sedia ditegur rakyatnya, hatta dengan pedang sekalipun.
Dalam keadaan sang penguasa sentiasa diiyakan segala tindak-tanduknya, media alternatif yang muncul dalam keterbatasan ruang, dicantas dan ditekan hebat. Pandangan kedua, ketiga dan seterusnya tidak dibenarkan, oleh itu akan berlakulah dalam masyarakat episod berpanjangan 'The Emperor's New Clothes' (Baju Baru Sang Maharaja).
Apa saja tindakan sang penguasa adalah betul, tiada siapa berani menyanggah, hatta Raja (pemimpin tertinggi) berbogel tiada yang berani menegurnya; semuanya berkata: "Raja mengenakan pakaian paling hebat," hakikatnya dia berbogel. Demikianlah yang akan menimpa negara jika pemimpin media massa sudah dikunci mata hatinya!
May 9, 2009
fuTsaL TYme!!!!
ari nih fakulti kitorang de wat xtvt bsuke ria..haha
men futsal pgi tadi pkol 9...huuhu...
menggagnggu mase tudo tol la..haha
gurlz pon de men gak...tpi xbape nk tgok sbb tgh men...
star xtgok org...org je yg tgok star beraksi...huhu
mcm2 gaye telah dwujudkn oleh dak2 nih...haha...sbb sumer xpndai men bola...
gaye zidane..henry..ronaldo...messi..sumer ade..hehe
keeper pon de gak...cassilas...riena..haha..ntah sape2 la lg...
yg laki la...pompuan xtau ler pe jadi...tkot tetuko kepale org ngn bola je...ngehngeh..
emm..best gak men ari nih...
de mkn2...mnom2...urm...pastu amek gmbo...
then abes...huhu...
keypad lock..=)
May 8, 2009
Konflik undang-undang sivil dan syariah?- Dr Shafie Abu Bakar
Mutakhir begitu banyak sekali masyarakat didepani dengan kes-kes perundangan berat.
Kes pembunuhan Wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu yang sedang berjalan, pembersihan dari tuduhan rasuah Ketua Polis Negara Tan Sri Musa bin Dato` Haji Hassan dan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri Dato` Johari Baharom oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Ghani Patail.
Pembersihan juga berlaku terhadap Mantan Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah Tan Sri Zulkipli Mat Nor. Sebelumnya Tan Sri Eric Chia yang menghadapi tuduhan rasuah Perwaja juga dibebaskan.
Rakyat termangu kerana jahil dengan selok belok perundangan ! Lebih dari itu mereka dikelirukan dengan tuntutan dari satu pihak umpamanya Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah menggesa rakyat memahami dan menghormati perundangan Negara hingga Parti Gerakan bercadang mengeluarkan booklet perundangan Negara bagi disebarkan kepada orang ramai agar lebih memahami undang-undang dan satu pihak lagi rakyat dilarang dari membincang dan mentafsirkan peruntukan-peruntukan tertentu di dalam Perlembagaan Negara.
Oleh kerana keliru dan jahil dengan perundangan yang berjalan menggerak setengah pihak berkenaan untuk mengetahui sedikit sebanyak aspek perundangan yang dianggap teknikal dan berbelit-belit dan hanya hakim dan lawyer menguasai profession berkenaan.
Bagi penulis atas minat yang mulai tumbuh semata-mata untuk kefahaman, maka ruang-ruang penulisan mengenai perundangan mulai lebih diberi perhatian, buku-buku asas perundangan mulai dibuka dan jika ada forum atau seminar perundangan ringan kaki untuk menghadirinya.
Forum konflik bidang kuasa sivil dan syariah
Demikianlah berdepan dengan maklumat bahawa forum dianjurkan oleh Persatuan Mahasiswa Fakulti Undang-Undang UKM (Perundang) pada malam 7 Ogos 2007 bertempat di Dewan Anuar Mahmud UKM menarik minat penulis memnghadirinya, apa lagi melihat pada wibawa tokoh-tokoh yang akan bercakap di dalam forum itu. Tajuk lengkap forum ialah:
`Konflik Bidang Kuasa Sivil Dan Syariah. Adakah perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan masih releven ?`
Para panel forum terdiri dari Profesor Dr. Abdul Aziz Bari dari Fakulti Undang-Undang UIAM, Sdr. Zainal Rijal Abu Bakar dari Fakulti Undang-Undang UKM dan Dr. Ugi Suharto dari ISTAC (Institute of Islamic Thought and Civilization), UIAM, manakala Moderator ialah Prof. Madya Dr. Rahimi bin Shafie dari UKM.
Dewan Anuar Mahmud yang memuatkan lebih 1000 orang itu penuh. Kebanyakannya terdiri dari pelajar-pelajar UKM, khususnya dari Fakulti Undang-Undang. Tidak ramai peserta luar. Mungkin ada syndrome ketakutan, bahawa kampus tidak sebebas dahulu untuk dihadiri orang luar ! Penulis sendiri ragu-ragu sama ada boleh masuk atau tidak. Tapi oleh kerana waktu malam, walaupun tanpa sticker, dengan memberi hormat dan mengangkat tangan kenderaan dilepaskan masuk.
Tiada konflik
Profesor Abdul Aziz Bari memberi pendapat, bahawa tidak berlaku konflik antara perundangan Civil dengan Syariah dan sepatutnya tidak timbul konflik.
Perundangan Persekutuan memperuntukkan dalam perkara artikal 11, bahawa Islam ialah Agama Persekutuan, tetapi penganut agama-agama yang lain bebas mengamalkan agama masing-masing.
Menurut Abdul Aziz artikal ini sudah cukup dan berdiri dengan sendiri di dalam meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan tanpa perlu kepada pecahan (3). Dari artikal ini sudah cukup untuk ditegak dan diinterpretasi berhubung dengan hak dan kuasa Islam di Negara ini.
Adapun peruntukan perlembagaan 121 (1A) memaksudkan bahawa undang-undang civil tidak berhak campur tangan ke atas peruntukan dan hak undang-undang syariat yang antaranya boleh diolah dari artikal 11 yang lengkap dan berdiri sendiri.
Menurut Abdul Aziz peruntukan 121 digunakan dalam Kes Mariam dan Mohd Arif dan mencabarnya (1961) yang membawa kepada penambahan enekman 121(1A) dan pernah digunakan bagi Kes Tengku Mariam.
Peruntukan ini mempertahankan kemurnian Islam dan penganutnya sehingga perundangan tidak diperkotak-katikkan dan dipermain sewenang-wenangnya. Seorang Islam tidak boleh sewenang-wenang keluar dari agama (murtad).
Ianya hendaklah berdepan dengan perundangan syariat, agar agama tidak kacau. Seseorang tidak dipaksa beragama Islam, tetapi apabila menganut Islam, dia tidak boleh sesuka hati isytihar keluar (murtad).
Murtad adalah sesuatu kesalahan serius dalam Islam dan bukan boleh dipermain-main. Dia mesti berdepan dengan perundangan Islam. Beliau mengambil kes Lina Joy dan juga kes Aishah Bukhari.
Menurut Abdul Aziz, hak asasi manusia tidak boleh dikaitkan dengan perundangan ini dan ia adalah berada pada tempat berlainan, kalau tidak ia mengacau dan merosakkan perjalanan perundangan.
Menurut Abdul Aziz, perundangan Islam adalah cantik dan banyak memberi hak termasuk kepada yang bukan Islam, tetapi pihak-pihak tertentu tidak cuba memahaminya. Orang bukan Islam tidak dipaksa ke mahkamah Syariah.
Masalahnya pengamal undang-undang, khususnya perundangan sivil tidak faham dan tidak cuba mempelajari dan memahami undang-undang Islam. Sebab itu menurutnya ada keputusan yang dibuat berlaku ketidakadilan.
Beliau merujuk kepada kes Atiqullah yang dilarang memakai serban di sekolah, sedangkan dalam masa yang sama ada kalangan lain boleh memakai serban. Tentang ketidak fahaman ini beliau merujuk contoh kepada Bank Islam, pada peringkat awal, orang bukan Islam dan juga orang Islam mencemuhnya dan berpendapat dalam beberapa tahun ianya akan berkubur.
Tetapi apabila Negara mengalami kegawatan ekonomi dan terbukti melalui urusan Bank Islam tidak merudumkan kewangan yang diurusniaga melalui Bank Islam, maka kebaikan Bank Islam mulai nampak dan kini, orang-orang bukan Islam lebih ramai menggunakan perkhidmatan Bank Islam melebihi orang-orang Islam.
Demikianlah keindahan Islam di dalam aspek yang lain belum dilihat dan dialami, sekiranya mereka memahami dan menghayati akan melihat dengan sendiri akan kecantikan Islam.
Menurut Abdul Aziz walaubagaimana dengan adanya peruntukan yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, tidak bererti Negara Malaysia Negara Islam, kerana banyak perkara yang memperlihatkan Malaysia bukan Negara Islam, sebaliknya beliau juga tidak menerima Malaysia sebagai Negara sekular, kerana terdapat peruntukan, perjalanan dan amalan yang mengukuhkan Islam.
Kes-Kes Mahkamah
Saudara Zainal Rijal Abu Bakar sebagai panel kedua menekankan bahawa keputusan-keputusan yang dibuat mahkamah Syariyyah adalah betul dan berasaskan peruntukan perundangan. Beliau bercakap berhubung dengan kes-kes di mahkamah syariyyah.
Beliau dari awal memperingatkan jangan mempercayai 100% terhadap laporan akhbar-akhbar. Bagi yang berbahasa Inggeris selalunya membuat laporan berpihak, sebaliknya akhbar-akhbar berbahasa Melayu bersifat acuh tak acuh.
Beliau merujuk kepada kes Murthy atau Muhammad Abdullah pendaki Everest yang meninggal dan jenazahnya menjadi rebutan antara Jabatan Agama Islam dan isetrinya Kaliamal. Dakwaan yang mengatakan isterinya tidak mengetahui suaminya menganut Islam tidak betul.
Isterinya berpindah dari Kem di Warderben ke Rawang untuk mengelak diri dari didakwah. Beliau juga tidak dipaksa ke Mahkamah Syariyyah, tetapi dijemput untuk memberi keterangan, tetapi tidak bekerjasama. Beliau membawa kesnya ke Mahkamah Sivil dan mempertikaikan Mahkamah Syariyyah yang berhak membicarakan kes berhubung dengan `suami`nya.
Walaupun kes melalui Mahkamah Syariyyah, jika terbukti kes tidak berpihak kepada mahkamah, maka diterima bukti dan kedudukan. Contoh Kes Nyonya Tahir, seorang perempuan Melayu berkahwin dengan orang Cina beragama Buddha yang mendapat 11 anak dan ia beramal dengan amalan agama Buddha, walaupun kad pengenalannya tercatat beragama Islam.
Pihak keluarga memberi kerjasama dan membuktikan Nyonya Tahir tidak mengamalkan Islam dan mati di dalam Buddha, maka diputus dan diselesaikan dengan baik, bahawa beliau mati di dalam agama Buddha..
Kes Saravanan yang memeluk Islam sebagai Mohd Shafie. Isterinya mahu kekal Hindu Mohd Shafie dapat membawa sama seorang anaknya bersama beragama Islam, kerana cukup umurnya (18), manakala anak-anak lain di bawah umur kekal bersama ibunya.
Manakala kes Siti Fatimah yang lahir secara Islam dan berkahwin dengan lelaki Hindu secara adat dan tidak mendaftar secara sivil atau Islam. Mereka tidak dilindungi baik oleh sivil atau syariyyah, kerana tidak mendaftar. Tidak timbul kontroversi. Untuk civil ada diperuntukkan akta � Reform of Marriage and Divorce Act (1982).
Akibat Liberalisme
Dr. Ugi Suharto sebenarnya pembicara pertama, tetapi melihat kepada persoalan yang dibicarakan adalah lebih sesuai dibicarakan sebagai lanjutan persoalan yang ditimbulkan oleh Abdul Aziz dan Zainal Rijal. Dr. Ugi yang berasal dari Indonesia itu memuji Perlembagaan Malaysia yang memberi kedudukan Islam sebagai agama Rasmi Persekutuan.
Indonesia yang 85% beragama Islam dan merupakan umat Islam terbesar di dunia tidak meletakkan sebarang agama sebagai agama rasmi. Menurutnya ada yang memuji tentang pendekatan liberal agama di Indonesia.
Akibatnya, menurutnya mengancam Islam itu sendiri. Contoh di Indonesia faham sekularisme makin mengancam Islam, timbulnya pluralisme yang berpegang bahawa semua agama sama dan benar. Dari pengaruh pasca modenisme mereka melihat Quran perlu didekonstruksi dan diedit semula.
Pendekatan juga dipengaruhi hermunitik yang melihat Quran sebagai Bible yang tidak ada yang asli lagi dan begitu banyak versi yang digunakan dan berbagai-bagai bahasa. Ini bertambah dikacau lagi dengan pendekatan Feminisme yang menuntut persamaan wanita dengan lelaki misalnya hak talak, wirathah, iddah, melarang dari berpoligami dan sebagainya.
Dengan keadaan ini ianya menggugat kemurnian Islam dan akan menjadi kacau. Menurutnya di Malaysia sudah ada tanda-tanda pluralisme agama dan Feminisme. Malaysia perlu mempertahankan peruntukan kedudukan Islam di Negara ini..
Sesi Soal Jawab
Semasa sesi soal jawab beberapa pelajar telah mengemukakan soalan dan pandangan yang menarik. antaranya. persoalan sekular, Islam liberal, Islam progresif, Islam Hadhari dan religious plurality. Persoalan ISA di Malaysia, hak, peluang dan prestasi mahkamah Syariyyah dan perlunya memahami perlembagaan.
Lanjutan Liberalisme
Di dalam menjawab mengenai Islam Liberal, Islam Progresif dan Islam Hadhari, Dr. Ugi Suharto menegaskan Islam hanya satu. Apabila ditambah dengan kata sifat Hadhari bererti menghad dan menyempitkan Islam.
Istilah Islam Hadhari menurut Ugi adalah tidak kena dan tidak sesuai. Sepatutnya kalau hendak digunakan ialah `Masyarakat (Islam) hadhari/madani`.
Beliau tidak menafikan prinsip 10 bagi hadhari itu baik, tetapi kebaikan Islam banyak lagi bukan terhad kepada 10. Beliau menyetujui bahawa baik Islam progresif dan hadhari adalah perkembangan dan lanjutan dari pemikiran liberal.
Perlanjutan Liberalisme melahirkan religious pluralisme yang akan menghilangkan kemurnian Islam. Ianya tidak sesuai bukan saja bagi Islam, tetapi juga bagi agama-agama yang lain.
Pluralisme dari satu pihak adalah `agama baru` bagi masyarakat sekular. Antara pegangan `agama baru` yang dilahirkan oleh pluralisme ialah apa yang dinamakan Civil Religion, Global Theology, Transcendence Religion dan Syncretism. Kesemuanya bercanggah dengan akidah tauhid dan mengancam kemurnian Islam.
Bukan negara Islam dan bukan sekular
Berhubung dengan Negara Islam dan Negara Sekular, Abdul Aziz melanjutkan pendapatnya bahawa Malaysia bukan Negara Islam, kalau Negara Islam, maka tentulah tak ada ISA dan OSA, Negara Islam tidak boleh ada diskriminasi dan tak boleh gantung perlembagaan (151).
Menurut Abdul Aziz dengan adanya peruntukan Islam dalam Perlembagaan, maka peruntukan ini menolak sekularnya Malaysia. Ianya dikukuhkan juga dengan fakta-fakta Islam di dalam sejarah Negara.
Berhubung dengan Mahkamah Syariyyah dan hubungannya dengan Mahkamah Sivil, Abdul Aziz melihat mereka yang di dalam mahkamah Sivil perlu memhami mahkamah Syariyyah apabila penghakiman melibatkan persoalan keislaman.
Kalau tidak berlaku kepincangan dan ketidakadilan. Beliau juga membela Mahkamah Syariyyah yang selama ini tidak disedari, bahawa sedang mahkamah sivil dihantui dengan tonggakan kes, tetapi 70% daripada kes mahkamah syariyyah dapat diselesaikan.
Berhubung dengan kemungkinan berlaku bercanggahan peruntukan, pertindihan perundangan dan sebagainya beliau menyebut di luar Negara ada mahkamah khas berkenaan perlembagaan, tetapi kita tidak mempunyai `Specialist Court` mahkamah khusus membicarakan persoalamn perlembagaan.
Oleh itu setiap Hakim harus memahami perundangan Syariah, jika undang-undang sivilnya berkait dengan persoalan syara`.
Saudara Zainal Rijal menambah dan mengingatkan bahawa adalah bahaya mengatakan Negara ini sebagai sekular, kerana ianya memberi ruang tekanan dari luar dan dalam. Tekanan dalaman akan timbul usaha menolak dan mengkesampingkan Islam dari institusi dan amalan, manakala dari luar akan masuk dan berkembang berbagai-bagai aliran dan kefahaman sekular yang antaranya mungkin merupakan agama moden sebagaimana diperkatakan oleh Dr. Ugi Suharto itu..
Kesimpulan
Forum Undang-undang yang dianjurkan oleh Persatuan Mahasiswa Fakulti Undang-Undang (Perundang) UKM ini banyak manfaatnya, khususnya bagi yang kurang pengetahuan di dalam bidang perundangan.
Perbincangan memperlihatkan tidak ada percanggahan dan konlik di antara bidang sivil dan syariyyah. Bidang sivil mempunyai hak dan kuasa secara luas, manakala mahkamah syariyyah mempunyai hak dan bidangnya yang tersendiri yang tidak boleh dicampurtangan oleh pihak sivil.
Persoalan yang berhubung dengan bidang perundangan Islam hendaklah diurus di bawah bidang syariyyah.. Orang bukan Islam tidak dipaksa ke mahkamah syariyyah, mereka boleh memberi kerjasama membantu melicinkan perjalanan mahkamah syariyyah seperti memberi keterangan dan sebagainya.
Sebaliknya orang bukan Islam tidak boleh membawa persoalan yang berhubung dengan mahkamah syariyyah ke mahkamah sivil. Adalah tuduhan yang melulu dan tidak berasas jika dikatakan mahkamah syariyyah memberi keadilan kepada penganut Islam semata-mata..
Sesungguhnya memahami adalah lebih baik dari memusuhi. Pepatah ada mengatakan, `Manusia itu Memusuhi apa yang tidak diketahui`. Dengan mengikuti forum ini, khalayak dapat memahami apa itu sekular, adakah Negara ini negara Islam atau tidak, apakah itu liberal dan implikasinya.
Dengan mengikuti forum ini juga kita dapat melihat dan menyedari bahawa perlembagaan Negara adalah hidup dan fleksibal dan boleh diolah selagi berhubungan dan releven.
Memahami perlembagaan melengkapkan kefahaman kita sebagai warga Negara Malaysia dan lebih membawa kepada peningkatan rasa toleransi.
Menghadiri forum sedemikian membangkitkan rasa nostalgic kepada kebebesan akademik dan otonomi universiti yang pada satu masa dulu dinikmati. Pada masa itu kegiatan ilmiah, foram, ceramah; debat, wacana, ceramah dan kolokium di universiti terbuka dan dapat diikuti orang luar.
Dengan itu bersemaraklah ilmu, berlaku pertukaran idea dan pengalaman serta kerancakan perbincangan. Mengapa kini mahasiswa dikurung di menara gading ? Membiarkan mereka longlai ?
Apakah yang ditakut oleh pemerintah untuk mereka berinteraksi dengan masyarakat ? Tidak mungkinkah sekatan-sekatan kini diruntuhkan dan kebebasan serta otonomi universiti dikembalikan ?
Di sebalik sambutan 50 tahun Merdeka, 20 tahun Harakah, 30 tahun Bangi
Kehadiran Ogos, penulis mendepani tiga sambutan. Paling utama ialah Sambutan Kemerdekaan Kali Ke 50, Sambutan 20 Tahun Harakah dan 30 Tahun Bandar Baru Bangi. Sambutan-sambutan yang diadakan wajar untuk mengingati dan menilai perjalanan lalu untuk dihayati dan diteladani bagi memperbaiki dan menghantar harapan masa depan. Walau bagaimana `Sambutan` kadang-kadang begitu cair dan boleh dimaksudkan antaranya `Perayaan`, `Publisiti dan Kesempatan` bahkan `Penyelewengan`. Merdeka pula mungkin diterjemah mengikut kamus politik sempit yang bersifat sepihak, terhad dan mempromosi parti politik tertentu.
Tidak ada siapa dari rakyat Malaysia sebenar yang lahir dan bertumpah darah di bumi ini tidak mencintai Malaysia yang dikasihi. Kemerdekaan Negara tentulah dijunjung tinggi dan ulang tahun kemerdekaan sama dihormati. Tetapi tepatkah ulang-ulang tahun kemerdekaan selama ini disambut ? Apakah arah dan matlamat? Ada tendensi memperlihatkan sambutan seharusnya murni bertukar kepada makna budaya `perayaan`. Substen dan fakta kemerdekaan tenggelam dan yang menonjol ialah tambahan-tambahan baharu untuk mewajarkan kepentingan, ulangan penampilan, hiburan, suka-sukaan dan berlalu dengan berakhirnya tempoh `sambutan` sementara menunggu `perayaan` tahunan berulang.
`Perayaan`, teristimewa 50 tahun kemerdekaan selaku `perayaan` digembar-gembur media letronik sebelum Ogos menjelang lagi dengan berbagai slot yang berhubung dengan kemerdekaan. Media cetak juga turut sama memberi ruang berhubung dengan kemerdekaan. Suasana sambutan telah bertukar dan menjadi budaya `perayaaan`. Pejabat-pejabat kerajaan, premis swasta, institusi, bangunan perniagaan rumah kediaman dan jalan-jalan berhias dengan bendera Persekutuan dan Negeri.
Kenderaan juga turut memasang dan mengebar bendera. Ada yang menganjurkan sukan dan pertandingan-pertandingan.. Puncak bagi sambutan ialah `Perbarisan Hari Kemerdekaan` di Ibu Negara yang dihadiri Pemimpin Tertinggi Negara, Perdana Menteri dan ahli-ahli Kabinet yang disaksi rakyat jelata baik secara langsung atau disiarkan melalui media letronik dan diikuti media cetak.
Sambutan adalah lebih bersifat ulangan dan `perayaan` yang sudah bersifat klisye dan hilang sentuhan dan rangsangan. Mungkin kita masih mencari-cari dan gagal meletakkan matlamat dan sasaran yang sebenar yang mau dicapai dari ulangan `perayaan`. Kita gagal menghurai dan mentafsir model contoh tokoh-tokoh yang kita kata pejuang kemerdekaan sebagai modal insan yang menjadi qudwah hasanah bagi rakyat dan masyarakat, kita masih gagal menampilkan episod-episod indah, dramatik dan kualitatif dalam perjuangan kemerdekaan yang dapat menggerakkan daya juang, ketahanan, kewajaan mental dan jiwa masyarakat di dalam menghadapi ujian dan persaingan (Contoh kekalahan berterusan pasukan bola sepak Negara di dalam pertandingan peringkat regional dan lebih jauh lagi pada peringkat internasional), kita gagal merumuskan gagasan merdeka yang dapat menyuntik dan membentuk `minda, jiwa dan raga merdeka` yang mempunyai daya juang yang tinggi, berdikari dan berjaya sebagaimana orang Jepun dan Korea umpamanya.
Apa yang dihayati dari kemerdekaan khususnya bagi masyarakat Melayu ialah perayaan, suka-sukaan, hiburan dan kadang-kadang melalaikan. Orang Cina tidak begitu tertarik dengan pesta-pestaan dan perayaan, tetapi mereka terus memanfaatkan waktu dengan bekerja dan terus bekerja.
Sebenarnya kita sengaja memiskinkan episod perjuangan kemerdekaan Negara yang sebenarnya kaya, tetapi dihad dan mengulang-ulang tayang hanya kepada episod `Penentangan Terhadap Malayan Union`. Mengapa ? Kerana inilah satu-satunya kejayaan bermakna bagi UMNO sesudah ianya ditubuhkan (1946). Dalam kata yang lain `perayaan Kemerdekaan` adalah perayaan UMNO, ia merupakan publisiti dan kesempatan bagi UMNO mempamer dan menonjolkan diri sebagai jaguh pejuang kemerdekaan dengan meminggir dan menggelapkan episod parti lawan.
Ianya dijadikan bahan kempen bagi UMNO-BN untuk kepentingan pilihanraya ke 12 yang bakal berlangsung. Untuk sambutan sejumlah RM200 juta diperuntuk oleh kerajaan dan setiap kawasan parlimen diperuntukkan RM30,000 untuk sambutan secara tidak langsung diambil kesempatan mempromosikan parti pemerintah bagi kepentingan pilihanraya. Sebenarnya berlaku kurupsi dan penyelewengan di dalam menampilkan sejarah kemerdekaan Negara. Pihak berkenaan tidak jujur dari segi keilmuan dan sejarah. Dari segi hakikatnya sejarah tidak mendustai diri. Fakta-fakta tegak berdiri bersamanya. Mengapa sejarah kemerdekaan Negara dikontotkan. Perjuangan kemerdekaan dikerat dan bermula dengan episod Malayan Union dan tokoh-tokoh menonjol hanyalah Datuk Onn dan Tengku Abdul Rahman ? Inikah saja pejuang-pejuang kemerdekaan ?
Tokoh Perjuangan
Sebenarnya kita mempunyai sejarah cukup panjang dan tak kurang gemerlapnya jika dihurai dan digilap. Mereka lebih hebat berjihad memperjuangkan kemerdekaan dengan darah dan air mata, bahkan nyawa. Pergerakan kemerdekaan dapat disusurgalur dari awal abad ke 20 yang dicetuskan oleh pelajar-pelajar al-Azhar seperti Syeikh Ahmad al-Fatani, Syeikh Tahir Jalaluddin dan Syed Syeikh al-Hadi, termasuk guru dari Makkah seperti Syeikh Abbas Taha. Mereka menerima pengaruh pembaharuan dari Jamaluddin al-Afghani, Muhammad Abduh dan Rashid Reda. Dari pengaruh majalah al-Imam mereka menghasilkan majalah Jam`iyatul Khairiyyah, Seruan Azhar dan pilihan Timor semasa di Mesir yang kesemuanya berbau gerakan politik pembaharuan.
Bila mereka pulang ke tanah air mereka bergerak membawa pembaharuan melalui tulisan dan melalui institusi pendidikan seperti melalui Madrasah al-Mashhur al-Islamiyyah (1919) Pulau Pinang yang antaranya melahirkan pelajar-pelajar seperti Syeikh Abu Bakar al-Ashari dan Burhanuddin Hilmi, manakala melalui pendidikan madrasah juga melahirkan tokoh-tokoh sepert Syeikh Abu Bakar Baqir yang mengasas Ma`had Ihya` al-Syarif Gunung Semanggol (1934), Madrasah al-Masriyyah, Bukit Mertajam (1906) yang diasaskan oleh Syeikh Salleh Masri melahirkan pelajar seperti Haji Ahmad Fuad yang mengasaskan persatuan Ulama SeMalaya yang kemudian bertukar kepada PAS. Madrasah di sini menjadi Pejabat Agung PAS terawal. Banyak lagi madrasah-madrasah yang berjasa yang melahirkan pejuang-pejuang pembaharuan yang mereka semuanya terhasil dari pendidikan keislaman.
Penentangan & Pemberontakan
Sejak dari awal abad 20 British mulai campur tangan ke negeri-negeri Melayu. Umpamanya Pahang British mulai campurtangan sejak akhir abad ke 19 yang menyebabkan bangkitnya penentangan berlamaan dari pahlawan-pahlawan Pahang seperti Tok Gajah, Datuk Bahaman dan Mat Kilau. Mereka bergerak antara Tembeling dan Hulu Terengganu dan mendapat bantuan dari Terengganu dan juga Kelantan. Di Terengganu sendiri semasa dengan gerakan penentangan di Pahang ini, apabila British mau campurtangan di Terengganu Sultan Zainal Abidin III (M. 1918) seorang Alim dibantu seorang pembesar ulama Syed Abdul Rahman bin Muhammad yang terkenal sebagai Tuan Paloh yang turut membantu Pahang berkeras tidak membenarkan British campur tangan di Terengganu. Selepas kemangkatan sultan dan ulama, campurtangan di dalam politik pentadbiran berlaku di Terengganu hingga mencetuskan pemberontakan Tani yang dipimpin oleh Haji Abdul Rahman Limbong.
Campurtangan British juga berlaku di Kelantan mulai 1903 dan diperkukuhkan dengan Perjanjian Bangkok (1909) antara British dengan Siam. Ini mencetuskan pemberontakan yang dipimpin oleh Haji Mat Hassan Munas murid Syeikh Ahmad al-Fatani yang terkenal sebagai Tok Janggut yang juga mempunyai pertalian dengan pahlawan-pahlawan Pahang. Sebagai mengambil tindakan balas terhadap British yang sedang menyerang kerajaan Khilafah Uthmaniyyah dan menjajah Kelantan dan mengenakan cukai taksiran tanah Tok Janggut dan pengikut-pengikutnya menyusun strategi menyerang British di Pasir Putih Kelantan pada 19 April 1915 menyebabkan tentera British berundur ke Kota Bharu dan pasuukan Tok Janggut menguasai Pasir Putih. Engku Besar Jeram diangkat menjadi Raja dan Tok Janggut sendiri menjadi Perdana Menteri sebelum Tok Janggut dikalahkan British dan disula pada 24 Mei 1915.
Penentangan juga berlaku di Perak apabila British menguasai negeri itu, J.W. Birch dibunuh oleh Tok Sagur dan pembantu-pembantu menyebabkan Sultan Abdullah yang dituduh bersyubhat dibuang negeri dan Datuk Maharajalela, Datuk Sagor, Pandak Induk dan Sepotom dihukum. Penentangan juga berlaku di Naning oleh Dol Said, di Negeri Sembilan penentang dipimpin oleh Datuk Syahbandar dan Yamtuan Antah Negeri Sembilan, manakala di Selangor oleh Raja Mahadi, di Sarawak oleh Syed al-Mashhur, Abdul Ghafur, Banting dan Asun dan di Sabah oleh Mat Salleh dan Antanum. Demikian beberapa contoh penentang penjajahan. Tentu ramai dari pengikut-pengikut mereka tidak dapat disebutkan di sini.
Melihat dari segi organisasi politik, UMNO amat baharu berbanding dengan gerakan dan pertubuhan politik sebelum dan semasanya seperti Kesatuan Melayu Muda (KMM) 1937, Kongres Melayu SeMalaya (1939), Pembela Tanahair (PETA) 1943, Kesatuan Rakyat Indonesia Merdeka (KRIS) 1945, Persatuan Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) 1945, Angkatan Pemuda Insaf (API) 1945, Majlis Agama Tertinggi Malaya (MATA) 1947, Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) 1947, Hizbul Muslimin (1948). Dalam masa yang lebih kurang sama lahirnya Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Barisan Tani Se Malaya (BATAS), SEBERKAS, Pemuda Redikal Melayu (PERAM),Gerakan Angkatan Muda (GERAM), All Malayan Council Joint Action (AMCJ) dan PAS (1951). Dalam kata yang lain banyak pertubuhan politik sebelum UMNO dan semasa yang menyaingi UMNO (1946) dalam memperjuangkan kemerdekaan..
Pemimpin
Dari segi pemimpin begitu ramai lahir mereka yang memimpin organisasi-organisasi politik di atas seperti Ahmad Fuad, Burhanuddin Himi, Ibrahim Ya`kob, Abu Bakar al-Baqir, Maulana Abdullah Noh, Ishak haji Muhammad, Ahmad Bustamam, bahkan termasuk gerakan kiri seperti Rashid Maidin, Abdullah CD, Chen Peng dan Shamsiah Faqih dan tentulah ramai lagi pejuang-pejuang bersama mereka. Dalam perkembangan politik mutakhir dan semasa sungguhpun pihak UMNO-BN berkuasa dan memerintah Negara ini bersama dengan Perdana-Perdana Malaysia dari Tunku Abdul Rahman, Tun Haji Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn, Tun Mahathir dan Datuk Seri Abdulllah Badawi dengan kabinet masing-masing bukan bererti mereka saja mewarnai politik Malaysia.
Golongan pembangkang, walaupun mereka tidak menikmati faedah sebaik kalangan pemerintah mereka juga adalah mempunyai peranan didalam membina, mengkritik, mencadang dan melaksanakan kebaikan-kebaikan bagi faedah rakyat. Sebab itu tokoh-tokoh politik mutakhir dan semasa wajar di beri hak dan kedudukan di dalam peta perjuangan dan kedudukan politik Malaysia. Mereka seperti Ahmad Fuad, Haji Abbas, Burhanuddin Hilmi, Asri Muda, Yusof Rawa, Ustaz Fadhil, Nik Aziz, Haji Hadi, Lim Kit Siang, Karpal Singh, Abdul Rahman Ya`kob, Ahmad Bustamam, Wan Azizah, Syed Hussein dan pembangkang-pembangkang yang lain.
Pendekatan selama ini yang melihat pejuang-pejuang kemerdekaan pada satu permukaan dan mengabaikan permukaan yang lain adalah merupakan kekurangan dan ketidaksempurnaan bahkan penggelapan dan ketidakjujuran bagi sejarah dan perjuangan politik di Malaysia sendiri. Berhubung dengan resolusi Pemuda UMNO yang mencadangkan agar diwujudkan semacam `Institut Patriotisme` di Malaysia dapat dipersoalkan. Antaranya jika apa yang hendak disampai dan dipupuk bersifat berpihak dan satu permukaan, maka ianya dikhuatiri tidak akan mencapai matlamat dan jati diri Malaysia, tetapi lebih bersifat propaganda dari pihak pemerintah bagi mengukuhkan kedudukan dan sokongan rakyat. Ianya merupakan satu lagi projek yang menghabiskan wang rakyat dan merupakan kesinambungan dari PLKN yang kelak bukan saja golongan pemuda, tetapi juga golongan tua akan dikerah dan diwajib hadir kursus di kem doktrinasi dalam usaha mengubah semua minda rakyat bagi menyokong parti pemerintah.
Sambutan Merdeka yang berlaku dan bersifat perayaan dan hiburan sebenarnya usaha mempamirkan kebaikan dan kejayaan kerajaan disamping menghibur masyarakat dan melalaikan mereka dari menyedari bahawa ada `the ugly side of Merdeka`. Rakyat tidak diberitahu dalam Negara Malaysia Merdeka ini akibat dari hiburan-hiburan nafsu yang berleluasa menyebabkan berlakunya kebejatan moral di kalangan anak-anak sekolah dan muda mudi, wujudnya kumpulan-kumpulan anak muda yang merempit dan samseng, penggunaan najis dadah. Bertambahnya jenayah membunuh, merompak, merogol, peras ugut, meragut dan menipu. Keselamatan tidak lagi terjamin dan rakyat hidup di dalam ketakutan. Kepercayaan terhadap Polis yang sepatutnya menjaga keselamatan makin menurun. Di samping masalah moral meningkatnya rasuah yang menjadi-jadi, perjalanan undang-undang dipersoalkan, tiada telusnya perjalanan demokrasi. Penggunaan akta ISA. OSA, AUKU diterus dan dipersoalkan..
Dari segi ekonomi meskipun Petronas mendapat keuntungan sehingga RM 76 bilion dan TNB 3 bilion berlaku juga kenaikan tol, petrol, cukai taksiran, tariff air dan letrik hingga harga barang-barang dan perkhidmatan meningkat dan berlaku inflasi, Rakyat tertekan dengan kenaikan kos hidup, walaupun berlaku kenaaikan gaji. Rakyat menderita. Sesungguhnya 53% kekayaan Negara ini dikuasai golongan atasan yang merupakan 20% dari penduduk, manakala 13% kekayaan dikuasai oleh rakyat bawahan yang mereka merupakan 40% dari penduduk. Malaysia kini jauh ketinggalan dari Singapura yang perkapita tahunan RM106,000, Korea Selatan RM66,000, Taiwan RM52, 000 dan Malaysia hanya RM21,000. Dengan kedudukan sedemikian jelas memperlihatkan apakah kita makin merdeka atau sebaliknya.
Dari satu pihak sambutan 20 tahun Harakah yang bertemakan `20 Tahun Memerdekakan Rakyat` bukan perayaan, tetapi manifestasi tekanan terhadap kebebasan bersuara dan bermedia. Harakah pertama diterbitkan pada 17 Ramadhan 1372H.(1952) dengan gambar Haji Ahmad Fuad pada halaman hadapan bersaiz A4 dengan diikuti beberapa pengeluaran tak berkala. Semasa keluaran tak berkala ini pada tahun 1985 keluaran Harakah dirampas Polis kerana ketiadaan KDN (permit), lalu ditukar kepada bentuk majalah dan berterusan hingga sebanyak 13 keluaran. Harakah memohon permit dan mendapat kelulusan Mac 1987 seminggu sebelum Muktamar PAS ke 33 pada 27 Mac 1987. Perjalanan Harakah tidak tenang, setelah menerbitkan Harakah dua kali seminggu pada 1990 diarah pihak KDN pada tahun 2000 Harakah hendaklah dijual di markas dan pejabat PAS.
Selepas 2000 KDN yang selalu merubah-rubahkan arahan mengarah Harakah di terbitkan 2 kali sebulan berbanding 2 kali seminggu sebelumnya. Ini ditakuti pengaruhnya oleh kerajaan, kerana Harakah menjadi akhbar alternative, khususnya selepas pemecatan Datuk Seri Anwar dari Timbalan Perdana Menteri hingga jualan Harakah melonjak dari 60,000 setiap keluaran kepada 350,000 di era reformasi 1998. Begitulah tiada kebebasan dan sekatan yang dilakukan terhadap Harakah. Hasrat PAS mau menjadikannya sebagai akhbar harian dan harapan ini nampaknya setakat ini tidak menjadi kenyataan. Sekatan ini mencerminkan bahawa demokrasi di Negara ini tidak lengkap dan menggugat kemerdekaan sebenarnya.
Sambutan 30 tahun BBB (1977-2007) juga dapat dijadikan contoh di dalam menilai taraf merdekanya Negara. BBB adalah Bandar kembar bersama UKM yang juga dihuni pada 1977. Sebagai kembar hubungan antara keduanya seharusnya begitu rapat sepatutnya sama-sama menyambut 30 tahun BBB yang sedang disambut sekarang. BBB adalah pemangkin bagi kemajuan UKM. Tenaga akademik dan pekerja-pekerja awam kebanyakannya adalah mereka yang tinggal di BBB. Sememangnya mereka yang memajukan UKM. Adalah diharapkan UKM memberi perhatian pada BBB seperti mempromosikan BBB sebagai Bandar Ilmu, sama-sama memberi fikiran bagi menjadikan BBB sebagai Bandar Selamat dan sejahtera.
Apa yang menyedihkan kembar yang asalnya rapat dan erat, tetapi semakin renggang dan terpisah. Warga kampus terpisah dan terpenjara dengan akta-akta. Tenaga akademik tidak bebas bercakap (kecuali dikenal pasti menyokong kerajaan), tidak bebas menulis diakhbar dan bimbang untuk berinteraksi dengan masyarakat luar dan memberi pendapat. Harapan BBB untuk menjadi Bandar Ilmu dengan bantuan, kegiatan dan pandangan dari tenaga akademik tidak tercapai.
Masyarakat luar, khususnya dari BBB menghadapi sekatan untuk ke kampus. Yang bebas keluar masuk kampus dan bebas menggunakan kemudahan di UKM ialah orang-orang politik UMNO-BN. Mereka boleh bersidang dan mesyuarat agung di universiti dengan menggunakan kemudahan universiti. Setiusaha Parlimen bagi Kementerian Pengajian Tinggi boleh mengarah timbalan-timbalan naib canselor membantu pilihanraya dipihak kerajaan..Mahasiswa lebih menghadapi tekanan dan diikat dengan akta AUKU. Mereka tidak bebas bercakap. Aktivis-aktivis mereka diintip dan dikenakan tindakan jika sabit kesalahan.
Pilihan raya kampus mereka tidak telus dan dimanipulasi oleh pihak pentadbiran dan kementerian. Pihak kementerian mengarah timbalan-timbalan naib canselor dan pentadbiran memastikan golongan yang memihak kerajaan mesti menang. Pelajar-pelajar yang cenderung dengan kegiatan Islam ditekan. Jika ada pilihanraya pada peringkat DUN dan Parlimen pelajar-pelajar dipastikan tidak pergi dan menyokong pihak pembangkang, tetapi dialu-alukan untuk bekerja menyokong pihak kerajaan. Demikianlah tidak telus dan terpenjaranya kehidupan para akademik dan pelajar. Mereka sebenarnya terasing dan diasing. UKM dan BBB sungguhpun berdepan mata, tetapi jauh dari hati dan minda. Dimanakah kebebasan akademik dan pelajar. Sesungguhnya kualiti universiti dan pelajar kita makin menurun diakibatkan polisi dan politik pemerintah sendiri..
50 tahun merdeka mencabar minda. Dengan sorok sorai dan perayaan makin merdekakah kita sebenarnya ? Jujurkah kita dengan paparan sejarah perjuangan kemerdekaan ? Apakah matlamat sambutan ? Kita harap mulai tahun depan pendekatan dan pengisian diperbaiki, jika masih berpihak mungkin tidak diberi perhatian dan diboikot, lebih-lebih lagi tahun depan anti klimeks sambutan. Mulakan dengan merdekakan minda dan fikirkan, mengambil pendekatan yang adil, berilmu dan berhemah, walaupun kecil, tetapi berfaedah.
May 6, 2009
Nasional dan Rakyat
Tahun lalu semasa Dato' Seri Anwar Ibrahim menghebohkan kemungkinan akan tertubuhnya kerajaan Pakatan Rakyat di peringkat persekutuan pada 16 September 2009, maka terbayang pada mata peNulis akan tertubuhnya sebuah kabinet Pakatan Rakyat, yang nama paling sesuai baginya adalah Kabinet Rakyat.
Tentulah sesuai bahawa kabinet Pakatan Rakyat pimpinan Anwar bernama Kabinet Rakyat. Sayang Anwar gagal dalam usahanya itu tetapi agak terkejut apabila didapati bahawa Dato' Seri' Najib Tun Razak menamakan kebinetnya Kabinet Rakyat. Sepatutnya sebagai kerajaan Barisan Nasional, maka wajarlah kebinetnya dinamakan Kabinet Nasional.
Tidak salah baginya untuk menamakan kebinetnya sebagai Kabinet rakyat. Lagipun istilah rakyat bukanlah hak cipta buat Pakatan Rakyat semata-mata, lebih-lebih lagi ia tidak didaftarkan dengan Pendaftar Pertubuhan. Sebab itulah Najib tidak pernah merujuk Pakatan Rakyat dengan nama Pakatan Rakyat. Ia hanya memanggilnya sabagai Pakatan Pembangkang.
Barisan Nasional masih boleh mengakui memperoleh sokongan majoriti rakyat Malaysia. Sebab itu mereka menang. Maka tidak menjadi masalah baginya untuk menamakan jemaah menterinya sebagai Kabinet Rakyat. Dalam erti kata Kabinet yang ditubuhkan oleh parti yang memperoleh sokongan majoriti rakyat.
Begitu juga dengan Pakatan Rakyat. Jika andainya pada 16 September lalu, ia dapat membentuk kerajaan persekutuan, maka kabinet yang ditubuhkan bolehlah dinamakan sebagai Kabinet Nasional. Ini kerana anggota menteri yang terkandung di dalamnya terdiri daripada mereka yang datang daripada kedua-dua wilayah negara, Malaysia Barat dan Timur. Maka tidak salah untuk disebutnya sebagai Kabinet Nasional.
Maka dalam hal ini, sama ada kerajaan Barisan Nasional, mahupun Pakatan Rakyat, kedua-duanya boleh menggunakan nama Kabinet Nasional atau Kabinet Rakyat. Dua-dua boleh melakukannya dan ia dapat diterima. Tetapi dalam semangat hendak menuju ke arah sistem dua parti, maka wajarlah kalau Barisan Nasional menggunakan istilah Kabinet Nasional, sementara Pakatan Rakyat menggunakan istilah Kabinet Rakyat. Iaitu sekurang-kurangnya ia menjadi satu penyelarasan.
Justeru pada masa depan, orang akan menyebut Barisan Nasional lawan Pakatan Rakyat yang dipendekkan kepada Nasional lawan Rakyat. Seperti kalau di Amerika, orang menyebut Demokratik lawan Republikan, maka di Malaysia, ia akan disebut Nasional lawan Rakyat. Jadi pada waktu Barisan Nasional berjaya menubuhkan kerajaan, maka jemaah menterinya dikenali sebagai Kabinet Nasional, sementara apabila Pakatan rakyat menubuhkan kerajaan, kabinetnya pula dikenali sebagai Kabinet Rakyat.
Maka apabila Najib menamakan jemaah menterinya sebagai Kabinet Rakyat, ia merupakan sesuatu yang tidak kena. Dalam sejarah negara, istilah nasional adalah sesuatu yang tidak timbul daripada awal. Perkataan nasional mula digunakan di Indonesia dahulu dengan Sukarno menubuhkan partinya yang bernama Partai Nasional Indonesia (PNI). Maka nasionalis di Tanah Melayu pada tahun 1945 yang menyokong Sukarno turut menurut jejak langkahnya dengan menubuhkan parti yang bernama Malay National Party (MNP).
Tetapi apabila diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, ia menjadi Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). Parti ini pada awalnya turut menyertai persatuan Melayu lain untuk menubuhkan Parti Kebangsaan Melayu Bersatu. Pada mulanya dipendekkan sebagai Pekembar, tetapi kemudian lebih kekal dengan nama Umno.
Setelah keluar daripada Umno, PKMM mengajak parti-parti Melayu lain, antaranya parti Islam pertama Tanah Melayu, Hizbul Muslimin (HM) menubuhkan gabungan bernama Pusat Tenaga Rakyat (Putera). Istilah penting dalam nama gabungan parti ini ialah rakyat. Antara penyokong Putera ialah sebuah pertubuhan yang ditubuhkan di Singapura bernama Gerakan Rakyat Muda (Geram) pimpinan A Samad Ismail. Ia juga menggunakan istilah rakyat.
PKMM, Putera dan Geram terkubur. Tetapi PKMM digantikan dengan Parti Rakyat Malaya (PRM). Ia kemudian berkembang ke Singapura dengan nama Parti Rakyat Singapura (PRS) dan ke Brunei dengan nama Parti Rakyat Brunei (PRB). Tetapi Samad Ismail tidak ikut serta sebaliknya bersama Lee Kuan Yew menubuhkan Parti Tindakan Rakyat dengan kependekannya Petir dan PAP. Istilah rakyat mula banyak digunakan.
Di Sarawak pula muncul Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan di Perak ialah Parti Rakyat Progresif (PPP) yang asalnya ialah Parti Progresif Perak tetapi kini dikenali sebagai Parti Progresif Penduduk. Begitu juga dengan Parti Gerakan Rakyat Malaysia. SUPP, Gerakan dan PPP kini berada dalam Barisan Nasional.
Dengan kemerosotan pengaruh pada pilihan raya tahun 1969, Perikatan diubah menjadi Barisan Nasional. Inilah pertama kalI istilah nasional mula popular di negara ini menggantikan kebangsaan. Kalau dahulu ketika menubuhkan universiti berbentuk nasional, ia dinamakan sebagai Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Andai kata ia ditubuhkan kemudian, tentu ia akan dikenali sebagai Universiti Nasional Malaysia.
Selepas tahun 1974, banyaklah institusi yang dinamakan dengan nama nasional dan perkataan kebangsaan sudah ditinggalkan. Apabila Lembaga Letrik Negara diswastakan, maka nama yang diambil ialah Tenaga Nasional. Ketika menubuhkan syatrikat minyak negara, maka namanya ialah Petroleum Nasional (Petronas). Apabila ditubuhkan syarikat permodalan untuk Bumiputera, maka namanya Perbadanan Nasional (Pernas) dan juga Perbadanan Nasional Berhad (PNB) yang memperkenalkan Amanah Saham nasional (ASN).
Maka berpanjanganlah nama nasional. Kereta nasional dinamakan Perusahaan Otomobil Nasional (Proton) yang diedarkan oleh Edaran Otomobil Nasional (EON). Apabila didirikan stadium di Bukit Jalil, maka dinamakan Stadium Nasional.
Di pihak istilah rakyat pula, agensi yang ditubuhkan untuk membela Bumiputera dinamakan Majlis Amanah Rakyat (Mara). Sementara Bank Kerjasama Rakyat berkembang hingga sekarang dikenali sebagai Bank Rakyat. Namun begitu, pada zaman Tun Hussein Onn, kerajaan Barisan Nasional ada menubuhkan Restoran Rakyat di tengah-tengah Kuala Lumpur untuk menjual makanan yang berharga rendah untuk kemudahan rakyat. Begitu juga apabila diperkenalkan keretapi ekspres dinamakan Ekspres Rakyat.
Maka dalam menghadapi pilihan raya tahun 1978, apabila berdepan dengan Barisan Nasional, maka tidak hairanlah pihak pembangkang dikenali sebagai Barisan Rakyat. Perkataan rakyat itu dikenali sebagai alternatif. Tetapi pada tahun 1986, muncul sebuah parti kebangsaan yang menamakan dirinya Parti Nasionalis Malaysia (Nasma). Perkataan nasional masih tetap popular.
Nasma, PAS dan PRM menubuhkan gabungan bernama Harakah Keadilan Rakyat ketika menghadapi pilihan raya umum 1986. Perhatikan pemilihan nama keadilan dan rakyat. Tetapi sebelum itu, apabila Gerakan menyertai Barisan Nasional, ahli parti yang tidak bersetuju keluar parti dan menubuhkan Parti Keadilan Masyarakat.
Bermulalah perkataan Keadilan menjadi popular apabila gerakan Reformasi dilancarkan pada tahun 1998. NGO yang menggerakkannya dinamakan Adil. Justeru, apabila parti Anwar ditubuhkan namanya ialah Parti Keadilan Nasional. Di dunia Islam, parti bernama Keadilan banyak pula digunakan. Di Turki muncul Parti Keadilan dan Pembangunan (AK). Sementara di Indonesia, muncul pula Parti Keadilan Sejahtera (PKS).
Tetapi PKS dari segi fahaman lebih hampir kepada PAS daripada Parti Keadilan Nasional di Malaysia. Parti yang dianggap hampir pada Parti Keadilan Nasional ialah Parti Amanat Nasional (PAN) pimpinan Amien Rais di Indonesia. Sekali lagi perkataan nasional menjadi kegemaran. Tetapi perkataan Keadilan tidak disenangi di Malaysia, maka Istana Keadilan bertukar nama menjadi Istana Kehakiman sedangkan dalam bahasa Inggeris, Palace of Justice ialah Istana Keadilan dan ia bukannya Palace of the Judiciary.
Namun apabila KeADILan bercantum dengan PRM, ia mengambil nama Parti Keadilan Rakyat. Dan apabila digabungkan KeADILan, PAS dan DAP yang muncul ialah Pakatan Rakyat.Demi Melayu dan Islam, PAS patut pilih Umno? - Dinsman
Ada seorang pembaca yang selalu SMS kepada saya. Dia ini tergolong dalam kelompok yang sangat kuat semangat Melayunya. Saya jarang menjawab.
Baru-baru ini dia menulis dengan panjang lebar, dan menghantarnya bersambung-sambung. Barangkali kalau disatukan ia menjadi lebih panjang daripada artikel ini.
Saya ucapkan terima kasih kepada Sulaiman, kerana sudi berhujah panjang lebar kepada saya bahawa sekiranya PAS benar-benar bermatlamat hendak menegakkan negara Islam ia sepatutnya bekerjasama dengan Umno, dan bukannya dengan DAP.
Kenapa PAS tak boleh bekerjasama dengan Umno yang ahlinya sebangsa dan seagama dengan kita, sebaliknya boleh pula bekerjasama dengan DAP yang beberapa orang pemimpinnya secara terang-terang menentang idea penubuhan negara Islam?
Sebenarnya bukan Sulaiman seorang sahaja yang berpandangan begitu. Sebelum ini pun ada beberapa orang pernah menghantar mesej yang kira-kira serupa, dan meminta saya memberi penjelasan. Malah di luar sana saya percaya masih ramai lagi orang Melayu yang berpandangan demikian.
Tidak salah kalau kita bersemangat Melayu. Tetapi bersemangat Melayu itu tidak semestinya Umno, kerana Umno hari ini tidak sama lagi dengan Umno sewaktu ia ditubuhkan dulu. Memang dulu Umno berjuang untuk memajukan orang Melayu. Dan memang Umno ditubuhkan pun untuk berjuang bagi membela kepentingan orang Melayu. Tetapi itu dulu.
Orang Umno dulu dengan orang Umno sekarang tak sama. Orang Umno sekarang bukan lagi berjuang untuk orang Melayu. Orang Umno sekarang berjuang untuk diri mereka dan kaum kerabat mereka dan sahabat handai mereka sahaja.
Dan perjuangan orang Umno sekarang pun terhad kepada perjuangan untuk kepentingan ekonomi mereka sahaja. Bukan untuk kepentingan ekonomi orang Melayu, dan apatah lagi untuk kepentingan agama dan budaya orang Melayu; jauh sekali.
Jadi apa yang Sulaiman dan orang-orang seperti Sulaiman hendak mengharapkan lagi kepada Umno? Tak ada apa yang boleh diharapkan pun, kecuali kalau Sulaiman nak mengharapkan untuk mendapat apa-apa kontrak perniagaan.
Itupun Sulaiman hendaklah terlebih dahulu 'join' dan menjadi orang mereka.
Apa maksudnya tu? Maksudnya Sulaiman janganlah lagi berfikir untuk membela nasib dan kepentingan orang Melayu, atau berfikir untuk memajukan bangsa Melayu. Tak boleh.
Nak sokong gerakan menentang Pengajaran dan Pembelajaran Sains Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) pun tak boleh. Biarlah kalau ramai anak-anak orang Melayu tak boleh belajar kerana tak faham bahasa Inggeris pun, tak mengapa.
Ha, itulah Umno sekarang. Dah jadi macam itu. (Dah tak kenal bahasa sendiri pun). Tak boleh nak dibuat apa-apa lagi dah. Tak boleh nak diperbaiki lagi. Tak ada ubatnya lagi dah.
Sakit di dalamnya dah terlalu teruk. Nak potong sebelah kaki pun tak boleh, nak potong sebelah tangan pun tak boleh. Kena biarkan dia reput hancur saja. Dan memang dia sedang menuju kehancuran pun.
Minta maaflah Sulaiman. Saya pun ada kawan-kawan baik orang Umno, yang sangat sayang kepada Umno kerana mengenangkan jasa parti itu telah banyak berjuang untuk orang Melayu. Tapi apa nak buat! Dah sampai masa. Kita kena terima realiti perubahan. Kita kena terima hakikat.
Ini bukan persepsi orang PAS ataupun persepsi orang di Harakah, seperti yang disebut oleh Sulaiman. Ini realiti perubahan yang sedang berlaku dalam masyarakat hari ini. Buka mata, buka minda. Jangan takut kepada perubahan.
Lebih 50 tahun Umno berpeluang untuk menunjukkan dan membuktikan bahawa dia itu parti yang berjuang untuk memajukan orang Melayu. Tetapi lihatlah apa yang berlaku di Pulau Pinang, misalnya. Orang Melayu masih jauh tertinggal. Kenapa apabila Pulau Pinang dikuasai DAP baru kita nak sibuk pasal nasib orang Melayu di situ? Begitu juga di Perak.
Apakah 50 tahun peluang yang diberikan kepada Umno itu tidak mencukupi? Sudahlah! Saya dah sebut tadi. Sebenarnya saya malas nak bercakap pasal Umno ni.
Kadang-kadang Umno ni nampak macam masih kuat tu bukannya apa. Sebab mereka masih lagi memegang kuasa. Itu saja. Tunggu Pilihan Raya Umum ke-13 nanti, insya-Allah, rakyat akan tunjukkan siapa sebenarnya yang berkuasa? Umno atau rakyat?
Jangan bimbang! Sulaiman bimbang kerana katanya sejak PAS bekerjasama dengan PKR dan DAP dalam Pilihan Raya Umum ke12, tidak kedengaran lagi PAS bercakap mengenai perjuangan untuk menegakkan negara Islam.
Jangan kita jadi orang berfikiran sempit. Lihatlah misalnya apa yang dibuat oleh Lim Guan Eng di Pulau Pinang. Pernahkah kita terfikir sebelum ini bahawa pemikiran tentang keadilan dan keberkesanan pemerintahan Umar Abdul Aziz akan diperkatakan dan dilaksanakan oleh seorang Cina kafir dari parti DAP yang terkenal dengan anti-Islam itu? Tak pernah kita terfikir pun!
Dan kalau ditanya siapakah yang kita akan pilih untuk menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang antara Lim Guan Eng itu, dengan mana-mana pemimpin Umno, misalnya Khir Toyo, atau Nazri Aziz, atau Ali Rustam? Mana yang kita nak pilih? Tentu kita akan pilih Lim Guan Eng, bukan?
Secara tidak kita sedari, idea negara Islam atau pemerintahan Islam itu akan menjadi kenyataan suatu hari nanti, tanpa mesti kita laung-laungkannya dengan penuh semangat hingga boleh menakutkan orang-orang bukan Islam.
Jadi, jangan bimbang dan jangan takut kepada Cina dan India semata-mata kerana mereka itu Cina dan India. Tuhan yang sengaja ciptakan manusia ini berbangsa-bangsa. Semuanya sama sahaja. Hanya taqwa di dalam hati kita yang membezakan.
Walaupun Lim Guan Eng itu bukan Islam, namun apabila dia menunjukkan ciri-ciri Islam dalam perwatakan dan pentadbirannya, marilah kita menyambutnya dengan berlapang dada dan berbaik sangka.
May 4, 2009
Derita tahanan ISA, bilakah akan berakhir?
Pagi tadi (26 Ogos, 11.15 pagi) saya menaiki bas dari kampung ke KL. Tiba di tol Sg Dua Pulau Pinang debaran memuncak. 'Road-block' polis bermula. Setibanya di Seberang Jaya, barulah warna-warni api peperangan hari ini semakin jelas menyala terang.
Kelihatan kibaran bendera Barisan Nasional yang berselangseli dengan bendera Keadilan. Kelibat anak-anak muda pro-Keadilan berkonvoi makin jelas di mana-mana. Sukar untuk melihat kenderaan memakai pelekat Umno dan BN berkonvoi begitu.
Dari kampung ke KL, balada Permatang Pauh
Mungkin mereka ada, tetapi hal sebegitu dibuat di tempat lain. Saya tiba di Hentian Putra KL sekitar jam 5 petang. Malam ini Diari Pasung menyiarkan pula dokumentari Kemta di Kemunting, Perak yang melibatkan tahanan ISA. Sakit hati betul menontonnya. Hisy!
Kata orang kalau mahu tekanan darah meningkat, rajin-rajinlah menonton RTM. Tapi tak apalah, sabar itulah sebaik-baik bekalan. Kalau kita sabar, kita akan dapat pahala.
Jadi, seharian dalam perjalanan sehingga ke petang, dalam fikiran saya sering terfikirkan tiga perkara. Bagaimanapun, semua ini hanya telahan ramalan peribadi saja.
Pertama, jika Permatang Pauh dimenangi Anwar, apakah nasib tahanan ISA? Kedua, jika Anwar jadi PM, bagaimanakah kedudukan Malaysia di dalam peta dunia? Ketiga, perihal kedajalan Umno yang gemar dan handal menipu rakyat.
Baiklah, marilah kita bualkan satu persatu. Pertamanya, hal-ehwal ISA. Saya merujuk hal ini terhadap dokumentari Diari Pasung malam tadi.
Antara yang diwawancara ialah Dr Agus Yusof dan Dato' Ibrahim Ali. Entah bagaimana, mereka barangkali terlupa agaknya untuk menemuramah Said Zahari yang merengkok di dalam penjara selama 17 tahun, kerana mempertahankan pendiriannya.
Saya difahamkan Pak Said Zahari ketika mewawancarai beliau tidak lama dahulu bahawa pihak KDN pernah menemuramah beliau untuk diminta pendapatnya tentang ISA ini. Di mana akhirnya rakaman itu, dan atas tujuan apa tidaklah diketahui.
"Barangkali, mereka gunakan rakaman itu semata-mata untuk mengkaji dan menganalisa pandangan saya berhubung Akta ISA tersebut," demikian kata Pak Said.
Soalan cepu emas, kenapakah tak digunakan rakaman tersebut di dalam Diari Pasung tadi untuk menggambarkan keseluruhan isi tema wacana tentang ISA? Kalau mereka gunakan perkataan ahli-ahli tahanan yang sudah insaf, itu jelas propaganda semata-mata.
Semak catatan tahanan ISA secara menyeluruh
Antara yang sudah 'insof' itu bernama Yazid. Jadi, mereka mempergunakan tahanan ISA yang telah 'insof' untuk meriwayatkan kebaikan ISA, sekali gus mempengaruhi kita.
Semak juga catatan Pak Sako, memoir Said Zahari, Pak Samad dan lainnya jika Abdullah Ahmad Badawi jujur dan berani. Seperkara lagi, bagaimana mereka mahu jawab tentang ugutan, ancaman SB ke atas keluarga tahanan ISA?
Apa yang ditunjukkan ialah menu makanannya yang baik. Diakui sejak dulu malah dalam memoir catatan tahanan ISA sendiri, menu dan diet makanan mereka memang baik. Tapi, bukanlah hal itu yang dipertikaikan oleh tahanan ISA.
Yang dipertikai, ialah kenapa 'jenayah' fikrah dan pemikiran mereka tak pernah dibantah secara umum samada dalam mahkamah atau melalui debat terbuka oleh kerajaan?
Keduanya, 'makanan perut' dipelihara, tapi 'makanan akal dan otak' seperti menulis untuk berhubung dengan dunia luar dinafikan. Adakah tahanan ISA diberi ruang menulis?
Dokumentari itu juga menyebut bahawa tahanan boleh mengakses bahan bacaan. Namun, sempat juga dicemuh pandangan tahanan apabila tahanan melemparkan rungutan bahawa, buku-buku itu dikatakan tidak kemaskini.
"Inilah yang dikatakan mereka tidak sedar diri, tidakkah mereka sedar bahawa mereka itu cuma tahanan?" kalau tidak salah saya, kurang lebih, begitulah bunyi ayat cemuhan itu. Sakit hati, jiwa dan perasaan walaupun saya bukannya salah seorang tahanan ISA.
Dr Agus ketika ditemubual, turut menyatakan bahawa mereka tidak boleh dilayan sebagai banduan. Bermaksud, tentu ada kelainan di antara 'jenayah politik', 'jenayah ekonomi' dan 'jenayah seksual'. Tapi, apakah ada pihak yang menggariskan bentuk 'kelainan' itu?
"Mereka tak pernah dibicarakan. Jadi mereka bukannya penjenayah biasa. Maka, tahanan ada hak beribadat, hak berhibur, menonton tv dan hak menemui keluarga," katanya.
Hak menulis dan mengundi
Kita ingin mencadangkan agar tahanan ISA ini diberi hak menulis ketika berada di dalam penjara. Dan, hal ini tentu sulit bagi kerajaan untuk memberikannya. Kerajaan boleh beri apa saja. Makanan dan minuman terbaik, hak beribadat, beruzlah dan berkhalwat.
Tapi, hal untuk memuntahkan pemikiran, idea, dan fikiran itu tidaklah boleh dipenuhi. Ini kerana, kebanyakan mereka itu bukan ditahan kerana tindakan jenayah, tetapi oleh kerana idea dan perbezaan idealogi di antara mereka dengan kerajaan. Jadi adakah kerajaan akan memberi ruang sekali lagi untuk mereka menyebarkan idea-idea mereka itu?
Jawapannya, sekali-kali tidak! Ini kerana, oleh kerana idea itulah mereka dipasung. Saya berani potong jari jika mereka diberi hak menulis di akhbar termasuk hak mengundi!
Syahadan, kembali kita kepada persoalan ramalan awal tadi. Adakah selepas pasca politik Permatang Pauh, tahanan ISA dibebaskan dan ISA dimansuhkan?
"Saya takut ISA masih digunakan. Selepas ini digunakan atas alasan membendung aliran yang dikatakan memudaratkan agama khasnya Islam," demikianlah bicara seorang teman. Sekali lagi diingatkan, ini cuma telahan dan ramalan saja.
Kedua, bagaimana rupa paras peta Malaysia ini selepas politik pasca Permatang Pauh? Di Amerika kini, Obama dinobatkan sebagai bakal Presiden di republik tersebut. Mujur juga tiada yang mengaitkan Obama dengan Osama, kerana sebutan nama itu hampir sama.
Adakah negara kita akan berkiblatkan Amerika jika Obama menang? Politik dunia yang tak menentu seperti Rusia menyerang Georgia baru-baru ini memungkinkan perang dunia ketiga akan terjadi. Blok kapitalis Amerika pimpinan George Bush sebelum kejatuhannya mungkin akan melakukan percekcokan dan 'chaos' dengan cara menyerang Rusia.
Malaysia, pasca Permatang Pauh di bawah pimpinan Pakatan Rakyat akan mahu berkiblat ke mana selepas itu? Mahu bergabung dengan Amerika atau Rusia? Matawang Amerika dan ekonominya yang lembap tentulah menyebabkan negara kita mesti membuat pilihan. Saya syor kita alihkan 'kiblat ekonomi dan politik' dengan cepat kepada blok Rusia.
Keputusan ini perlu dibuat beberapa tahun sebelum kemunculan Imam Mahdi, Ratu Adil. Bagaimanapun, simpan syor ini dalam kepala pimpinan PR masing-masing. Kita mestilah siap sedia dengan pelbagai kemungkinan.
Hujung usia dunia
Kita kini berada di hujung usia dunia. Yakjuj Makjuj telah tiba serta dajjal si penipu telah lama bertindak melebarkan cengkamannya. Di Malaysia, tanpa perlu berdalih, Umnolah dajjal yang mewarisi legasi Freemason di Malaya sejak kehadiran Portugis, British.
Mereka menipu rakyat dengan menggunakan jentera media dan sentiasa menyatakan ISA itu bagus dan Auku itu memang baik. Memang disebutkan dalam hadis bahawa hanyalah yang beriman sahaja yang tidak mudah ditipu oleh dajjal, manakala yang lainnya teruslah ditipu dan dipermainkan dajjal dengan tipudayanya.
Syahadan, selepas Anwar menang, Umno BN akan berdendam ke atas rakyat Permatang Pauh seperti mana Umno BN melepaskan dendamnya ke atas rakyat yang tidak mengundi mereka dalam pilihan raya lalu. Antara contoh dendam itu, harga minyak dinaikkan.
Dan, memang inilah sifat dajjal seperti yang disebutkan dalam hadis nabi. Iaitu, di bawah pemerintahan dajjal, mana-mana orang yang enggan mengikutinya, maka akan diletakkan mereka itu di dalam neraka dunia. Maka, ISA itu adalah serpihan neraka dunia itu.
budeansufiea
